KUALA LUMPUR – Setiap kali bertukar kerajaan dan Perdana Menteri, rakyat dihidangkan dengan slogan baharu.
Padahal, slogan itu tidak pernah dilaksanakan dengan jayanya walaupun sesebuah kerajaan mengambil masa satu atau lebih penggal pemerintahan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau pada dasarnya tidak bersetuju dengan slogan yang diperkenalkan kerajaan kerana tidak memberi kesan kepada rakyat.
“Sebelum ini kita diperkenalkan dengan slogan Keluarga Malaysia, 1Malaysia, Kerajaan Prihatin, Wawasan 2020 dan sekarang Madani.
“Sedangkan, pemimpin negara besar dunia seperti Abraham Lincoln, Xi Jinping, Recep Tayyip Erdogan tidak pernah ada slogan dalam pemerintahan mereka.
“Tetapi, di negara ini setiap kali tukar Perdana Menteri, mesti kena tukar slogan. Selalunya slogan yang lepas-lepas tidak ada kesan pun,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut Zaid, ada juga slogan berkesan, tetapi seeloknya konsep yang hendak diperkenalkan itu diterjemahkan melalui tindakan serta pelaksanaan, bukan sekadar menjadi sebutan atau bualan.
Kata beliau, sesuatu slogan atau konsep itu akan timbul dengan sendirinya apabila tindakan yang dilakukan berjaya.
“Kalau sekadar slogan, ia tidak boleh menjayakan apa-apa. Ia hanya sekadar memberi peluang kepada pemimpin untuk bercakap, mengulas, tetapi tidak memberi kesan kepada rakyat.
“Jadi, saya cadangkan, kalau Kerajaan Perpaduan nak menjayakan slogan atau konsep Madani ini, lihat bagaimana rakyat susah atau B40 menjalani kehidupan seharian dalam serba kepayahan.
“Saya nak beri contoh, setiap pagi, kita lihat ibu atau ayah bonceng anak ke sekolah. Ada yang bonceng seorang, dua orang dan tiga orang anak. Redah kesesakan lalu lintas. Ini bahaya. Ini tidak bertepatan dengan konsep Madani,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan perlu menyediakan bas untuk ambil dan hantar anak dari keluarga miskin ini ke sekolah.
Dengan kaedah itu, ujar beliau, ibu atau ayah dapat bekerja dengan baik, tanpa memikirkan soal anak hendak pergi dan pulang sekolah.
“Kenapa kita tidak sediakan perkhidmatan ini kepada rakyat B40? Negara lain boleh beri kemudahan itu kepada rakyatnya, mengapa kita tidak boleh?
“Takut melibatkan kos besar? Pengorbanan rakyat untuk negara jauh lebih besar berbanding berapa sangatlah untuk kerajaan balasnya. Inilah konsep Madani sebenar,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kantin sekolah, yang sepatutnya kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan perlu selaraskan menunya di seluruh negara supaya makanan disediakan lebih berkualiti. – MalaysiaGazette