Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempengerusikan bersama Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

KUANTAN – Satu jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pahang dan Selangor ditubuhkan bagi memperincikan persempadanan antara kedua-dua negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam pertemuan julung kali itu, pihaknya membincangkan perkara berkaitan pembangunan serta isu air membabitkan kedua-dua negeri.

Antara isu persempadan berkaitan pendakian gunung di hutan simpan bersempadanan menyukarkan kedua-dua negeri jika berlaku perkara tidak diingini kepada pendaki turut dibincangkan selain daripada isu penyaluran air mentah Pahang ke Selangor.

Selain itu, Wan Rsody berkata, penguatkuasaan bersama di sempadan berkenaan lori balak yang melebihi muatan serta penandaan negeri yang telah dimuktamadkan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Oleh sebab sempadan Pahang dengan Selangor ini khususnya di kawasan Genting Highlands terdapat banyak kawasan berbukit, jadi kita juga berbincang berkenaan kawalan pembangunan antara Selangor dengan Pahang.

“Saya berterima kasih kerajaan Selangor menawarkan beberapa lokasi bagi kegunaan latihan di Selangor dan insya-Allah kita akan ambil peluang tawaran kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Dua Hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Wan Rosdy berharap kedua-dua negeri dapat memberi sokongan dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam meningkatkan hubungan baik serta dalam memajukan Pahang dan Selangor.

Beliau memaklumkan mesyuarat berkala akan teruskan  mengikut giliran dan mesyuarat seterusnya akan dilaksanakan di Selangor.

Sementara itu, Amirudin berkata, kedua-dua kerajaan negeri mengambil peluang bekerjasama termasuk mengumumkan anak-anak syarikat dalam mengupayakan keselamatan bekalan makanan dan juga keadaan jalan supaya memberi manfaat kepada rakyat.

Jawatankuasa teknikal yang dianggotai setiausaha kerajaan bagi kedua-dua negeri itu akan meneliti perkara tersebut sebelum dikemukakan kepada mesyuarat kedua yang dijangka berlangsung sebelum Ramadan ini.

“Kita melihat progres perkembangan sebab sebahagiannya melibatkan beberapa agreement, perjanjian seperti bekalan air, sempadan dan pembangunan lokaliti kawasan tinggi tadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette