KUALA LUMPUR – Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecat serta menggantung keahlian beberapa pemimpinnya malam tadi menamatkan “pertelagahan” sesama sendiri yang berlanjutan lebih empat tahun.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Razlan Rafii menyifatkan usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat perlu dilakukan bermula sekarang dengan menoktahkan segala masalah dalaman.
“Selama empat tahun kita sibuk layan kerenah pemimpin kita sendiri, ada sahaja kenyataan yang tidak berdisiplin yang menunjukkan pergaduhan pandangan, pendapat.
“Orang tidak akan yakin kalau kita (UMNO) ini tidak menunjukkan penyatuan dan kesatuan.
“Apa yang kita lakukan hari ini pada pandangan saya, kita kena ada gerak kerja lima tahun untuk kembalikan keyakinan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada keputusan UMNO memecat dan menggantung nama-nama besar parti itu akan memberi kesan kepada survival UMNO, Razlan berkata, tiada sesiapa pun pemimpin yang lebih besar daripada parti.
Katanya, pemimpin nama besar UMNO mempunyai tanggungjawab memelihara keutuhan parti dan perlu mengambil kira kesan terhadap organisasi itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Nama-nama besar semua ada tanggungjawab. Tanggungjawab pada diri dan parti…jika kita buat kenyataan yang popular tapi tidak menguntungkan parti itu tidak bertanggungjawab.
“Nama-nama besar sepatutnya fikir terlebih dulu…KJ (Khairy Jamaluddin) kata parti ini telah sesat, bila buat kenyataan sebegitu, apakah KJ telah fikir kesan kepada parti.
“Kesan daripada kenyataan nama besar itu menyebab orang melihat parti ini caca marba,” tambahnya. – MalaysiaGazette