Datuk Othman Desa.-Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menjaga adab beroganisasi dengan tidak mengeluarkan kenyataan di luar daripada parti.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia Datuk Othman Desa berkata, sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ismail Sabri mempunyai platform untuk menyatakan sebarang ketidakpuasan hati berikutan tindakan disiplin yang diambil terhadap pemimpin parti itu.

Menurut Othman, tindakan Ismail Sabri yang tidak selaras boleh memecah dan melemahkan parti.

“Macam Datuk Seri Ismail Sabri dari awal dia komen. Pada saya, kita orang UMNO termasuk pemimpin, sama ada buat salah atau tak buat salah, tolong beradab dalam berorganisasi.

“Letakkan parti di tempat yang tinggi. Ini termasuk orang yang pegang jawatan presiden dan timbalan presiden yang perlu menjaga amanah parti.

“Benda itu kena ada adab. Jangan bercakap di luar lagi. Akan merosak dan melemahkan UMNO. Awak berada dalam MKT setuju atau tidak setuju patut bercakap dalam itu,” tegas Othman.

Beliau mengulas tindakan Ismail Sabri yang mengeluarkan kenyataan kepada umum tidak bersetuju dengan keputusan parti memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.

Kenyataan Ismail Sabri itu kemudiannya dipetik dan dilaporkan secara meluas oleh media.

Othman berkata, tindakan sedemikian hanya mengeruhkan situasi yang dihadapi UMNO dan Ismail Sabri boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Saya rasa kalau dia komplen macam itu, dia boleh mengeruhkan suasana. Semua orang bercakap apa sahaja yang mereka ingini.

“Ada dalam peraturan parti, awak mengeluar kenyataan terbuka, menghentam parti itu salah.

“Saya pernah duduk dalam Jawatankuasa Displin parti dan ini tindakan yang boleh diambil oleh parti,” kata beliau.

Tambah Othman, perbuatan itu boleh menyebabkan salah faham kepada masyarakat awam yang kini melihat tindakan yang dilakukan oleh UMNO adalah salah.

Jelas beliau, MKT UMNO mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap ahli yang melakukan kesalahan disiplin.

“MKT ini badan tertinggi UMNO yang boleh membuat apa sahaja keputusan.

“Pemecatan dan penggantungan keahlian berlaku sejak dahulu termasuk terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semua keputusan dibuat dalam MKT,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri membantah keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa ahli yang didakwa tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

Kata Ismail Sabri, keputusan berkenaan menimbulkan beberapa perkara berbangkit termasuk tiada surat tunjuk sebab dan tiada ruang menjawab pertuduhan diberikan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan

“Selain itu, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut,” katanya menerusi hantaran di Instagram beliau pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Perlembagaan kuasa PAU dan MKT:
    segalanya Zahid Hamidi merintis jalan itu.
    Zahid Hamidi buat pecah dan perintah
    Zahid Hamidi dahulukan kepentingan diri
    Zahid Hamidi langgar keputusan PAU
    Zahid Hamidi putuskan calon PRU
    Zahid Hamidi tidak gunakan saluran party
    Zahid Hamidi membuat huruhara
    Zahid Hamidi melemahkan party
    Zahid Hamidi merosakkan Perlembagaan
    Zahid Hamidi buat party dihina
    Zahid Hamidi tiada Daya kepimpinan
    Zahid Hamidi mempergunakan jenama AHLI AKAR UMBI.
    mana ketelusan jika ahli akar umbi tidak diperjelaskan segala tindakan?
    jika Zahid Hamidi sebagai president party GAGAL menyatukan ahli….
    layakkah beliau menjadi seorang TPM?
    rakyat memerhatikan..

  2. Mana Mail Sabri tak bantah…geng2 dia yg berkongkol dgn Muhyidin terlibat..lg pun dia bukan pegi mesyuarat MKT pun

  3. Bersengkokol dengan PN atau PAS atau Bersatu salah? tapi bersengkokol dengan DAP tak salah plak, pelik melayu kita sekarang ni, melayu payah nak bersatu sama melayu kalau berkaitan dengan politik ni. Kalau ini lah gaya hidup politik melayu dimalaysia ni sampai bila bila pun tidak akan aman drpd situasi hiruk pikuk kekacauan dan huru hara politik melayu. Kesudahnya rakyat marhain menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik itu sendiri.

Comments are closed.