KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini diwarnai pertunjukan pancutan air berirama dengan pencahayaan di taman-taman rekreasi, pusat-pusat membeli belah terkemuka serta di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai yang mempunyai fasiliti air pancut.
Persembahan formasi muzikal yang penuh vibrant ini dianjurkan dengan kerjasama strategik pihak DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, KLCC Holdings Sdn Bhd, The Gardens KL & Pavilion Kuala Lumpur tanpa melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, penganjuran program ini dapat menceriakan dan menambahkan rasa cinta dan sayang kepada Wilayah Persekutuan.
Formasi Muzikal Air Wilayah Persekutuan ini sangat bersesuaian untuk aktiviti riadah bersama seisi keluarga sambil menikmati panorama menarik sekali gus menggalakkan aktiviti pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan boleh mengambil peluang beriadah di KLCC Lake Symphony Fountain, Crystal Fountain Pavilion Kuala Lumpur, The Gardens KL Fountain, Kolam Biru River Of Life (Jalan Leboh Pasar Besar), Air Pancut Tasik Putrajaya di Presint 2 dan Bulatan Marlin, Jalan Merdeka di Labuan tanpa sebarang caj bayaran.
Pertunjukan Formasi Muzikal Air Wilayah Persekutuan ini bermula 8 malam hingga 10 malam pada 1 hingga 28 Februari 2023.
Program Pencahayaan turut diadakan pada 30 Januari hingga 2 Februari 2023 melalui pemasangan lampu secara festive mood di semua premis dan bangunan di Kuala Lumpur bagi menyemarakkan suasana Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023. – MalaysiaGazette