SPRM ventilator
Muhamad Akmal Salleh

JASIN – Kesedihan terhadap pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO tidak sewajarnya terus diratapi kerana adalah perkara biasa untuk memperkukuhkan parti pada masa hadapan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ahli di semua peringkat seharusnya melihat situasi itu sebagai semangat yang akan menguatkan lagi perjuangan mereka dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa.

“Pemecatan mahu pun penggantungan pemimpin parti ini adalah biasa dan kita perlu yakin UMNO adalah wadah yang dapat melahirkan lebih ramai pelapis untuk menyertai pucuk kepemimpinan parti.

“Kalau kita kehilangan pemimpin muda seperti KJ (Khairy Jamaluddin) dan Shahril (Sufian) Hamdan, saya percaya UMNO mampu melahirkan 10 lagi `KJ’ dan 10 `Sharil Hamdan’ yang lebih setia pada masa akan datang,” katanya.

Sulaiman (tengah) dan Muhamad Akmal (tiga dari kiri) melakukan gimik pelepasan larian sempena Merlimau Berpeluh 5.0 di Dataran Orang Kampung Merlimau, Jasin, Melaka malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau ditemui selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan Merlimau Bercahaya dan Merlimau Berpeluh 5.0 di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Mesyuarat MKT pada Jumaat lalu memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Turut dikenakan tindakan sama adalah bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang selain lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari negeri Pahang.

Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN), dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, dengan kekuatan dan kesetiaan yang ada pada pemimpin akan datang, beliau yakin UMNO mampu bangkit kembali walaupun perlu berhadapan tugas sukar kelak.

“Sudah sampai masanya UMNO memberi ruang dan peluang kepada orang muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin pelapis bagi menarik kembali sokongan pengundi muda menjelang PRU akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan UMNO akan kelihatan lemah selepas pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpin terbabit, beliau berkata, parti itu sudah melalui pelbagai fasa kepemimpinan sejak penubuhannya pada 1946.

“Kita dah lalui pelbagai fasa dan suasana, ada pemimpin yang dipecat dan kembali ke kancah politik sebagai Perdana Menteri seperti Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Inilah dinamika politik yang bukan sahaja berlaku dalam UMNO namun juga berlaku dalam parti lain apabila ada ahli yang dipecat disebabkan tidak setuju dengan presiden mereka,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Yes betul tu ada ramai dalam UMNO yang lebih menyerlah dan setia. Yang tak akan gadai parti dengan menjqdi talibarut BERSATU. Hidup UMNO

Comments are closed.