Enam mangsa dari Pulau Pinang dan Kedah mengadakan sidang media di Seberang Jaya hari ini mendakwa diperdaya syarikat kontraktor pembinaan rumah hingga mengalami kerugian hampir setengah juta.

SEBERANG PERAI – Enam individu mendakwa tertipu dengan sebuah syarikat kontraktor pembinaan rumah yang berpangkalan di Kedah selepas rumah yang dijanjikan tidak siap.

Mangsa rata-rata dari Pulau Pinang dan Kedah itu dikatakan terpedaya dengan syarikat berkenaan menerusi iklan di Facebook yang menawarkan pembinaan rumah banglo bermula RM89,000 pada Mac lalu.

Mereka yang terdiri daripada penjawat awam, pesara kerajaan serta peniaga itu turut mendakwa bukan sahaja mengalami kerugian RM478,750 malah berdepan tekanan emosi disebabkan penipuan terbabit.

Menurut pesara, Shaharudin Mohamed, 61, bukan saja wang simpanannya berjumlah RM88,000 lesap namun impiannya untuk mendiami rumah sendiri juga tidak tercapai disebabkan kontraktor.

Shahrudin.

Jelasnya, mengikut perjanjian pembinaan rumah di tanah lot miliknya di Tasek Gelugor itu perlu siap awal Disember lalu namun hanya kira-kira 30 peratus saja pembinaan terlaksana.

“Harga yang ditawarkan untuk pembinaan rumah saya itu RM135,000 dan percaya akan syarikat itu terdiri daripada kontraktor yang sah berdasarkan Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) saya membuat pembayaran secara berperingkat berjumlah RM88,000.

“Bagaimanapun, selepas tarikh perjanjian rumah saya masih terbengkalai dan pihak kontraktor memberi pelbagai alasan termasuk bahan binaan kehabisan stok serta kekurangan pekerja.

“Tidak puas hati dengan alasan itu, saya cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada mereka (kontraktor) sebelum mendapati ada lagi mangsa lain yang turut mengalami nasib yang sama seperti saya,” katanya pada sidang media di Seberang Jaya  hari ini.

Tambah Shaharudin, dia dan isteri terpaksa menyewa rumah di Bukit Mertajam susulan tidk mempunyai wang yang cukup untuk mengupah kontraktor lain menyiap rumahnya yang terbengkalai itu.

Sakinah.

Turut berkongsi masalah sama, Sakinah Ahmad Shukri.

Wanita berusia 33 tahun itu telah membuat pembayaran penuh berjumlah RM91,750 untuk membina rumah banglo satu tingkat di Pendang, Kedah namun kini terpaksa mengupah kontraktor lain untuk menyiapkannya.

“Saya sewa rumah lain sementara menunggu rumah sendiri siap tapi tak sangka menjadi mangsa anaiya syarikat berkenaan. Rumah saya terbengkalai di fasa kedua jadi memerlukan wang lagi untuk mengupah pihak baru menyiapkannya.

”Apa yang kami geram, syarikat itu masih mengiklankan perkhidmatan pembinaan di Facebook sedangkan masih ramai menunggu rumah mereka disiapkan.

Menurut Sakinah, tujuan utama dia dan mangsa lain membuat sidang media untuk memberi kesedaran kepada orang awam khususnya mereka di wilayah Utara agar tidak terpedaya dengan syarikat terbabit selain mahu menuntut ganti rugi.

Terdahulu, kesemua mangsa membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan itu di Balai Polis Seberang Jaya. – MalaysiaGazette