PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas telah mengharungi detik cemas apabila nyaris maut selepas keretanya secara tiba-tiba terbakar di atas jalan di sini malam tadi.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pukul 9.28 malam di Jalan Tandang menghala ke PJ Old Town.
“Sejurus tiba di lokasi kami mendapati sebuah kereta Proton Saga Aeroback yang dipandu seorang lelaki warga emas terbakar di atas jalan.
“Bagaimanapun, anggota bomba berjaya memadam kebakaran dan kereta itu musnah 80 peratus dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Mangsa berusia 66 tahun telah mengalami kecederaan melecur pada badannya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di tempat kejadian.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan oleh awam untuk rawatan segera.
“Mangsa yang identitinya dikenalpasti sebagai N.K Karugarang mengalami kecederaan melecur di bahagian badannya dan dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya. – MalaysiaGazette