KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sudah memberikan bayangan kemungkinan besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan kembali sebagai Menteri Besar Selangor jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa bulan lagi.
Difahamkan PRN dijangka diadakan sebelum bulan Jun tahun ini.
Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.
Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang kepada Berita Harian, semua keputusan terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan berkenaan.
Dalam pada itu Dr Zulkafperi berkata, Azmin berdepan tugas berat mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kerusi itu dijangka sengit kerana pengundi Melayu tidak sampai 50 peratus dan ia semestinya sukar,” katanya.
Azmin yang juga mantan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum itu pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan menjadi ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008. – MalaysiaGazette
Kembalikan air percuma, sekarang sudah bayar pun tetapi perkhidmatan air macam itu juga Jalan-jalan dan taman permainan di bawah PBT pun tidak terurus. Harap bakal MB baru dapat tengok semua ini.