KUALA LUMPUR – Dr Zaliha Mustafa menjadi Menteri Kesihatan Malaysia yang pertama diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesi ke-152 di Geneva, Switzerland.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara, dan sepanjang 10 tahun penglibatannya bersama WHO.
Beliau berkata Dr Zaliha diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat itu selepas dilantik sebagai naib pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat 2023-2024.
“Ini merupakan antara pencapaian utama beliau yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Menteri Kesihatan,” tambahnya.
Dr Zaliha bersama delegasi menghadiri mesyuarat itu di Geneva, Switzerland bermula Isnin lepas sehingga Selasa depan, dan selain beliau serta Dr Noor Hisham, turut bersama dalam sesi lawatan rasmi itu ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia merupakan platform bagi membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.
— BERNAMA