Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh pelatih PUSPEN ci Sungai Siput, Perak. - Gambar hiasan.

IPOH – Seorang pelatih serta tiga kakitangan Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) di Perlop,  Sungai Siput di sini ditahan semalam bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pelatih pusat pemulihan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, poihaknya menerima maklumat kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu pukul 12.55 tengah hari pada 31 Januari lalu.

Siasatan awal mendapati ada kecederaan pada badan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada belakang badan mangsa akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

“Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan maklumat tidak sahih dan spekulasi berhubung kes itu. – MalaysiaGazette