Sebahagian ahli Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan mangsa menunjukkan plakad bantahan terhadap kes penipuan aplikasi e-Ganjaran di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa pihak berkuasa menyiasat operasi syarikat yang menggunakan satu aplikasi berbentuk perkhidmatan yang memberi ganjaran dalam talian (e-Ganjaran).

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, siasatan perlu dibuat memandangkan ia telah melibatkan ramai pengguna ditipu.

Menurutnya, perkhidmatan itu menawarkan mata ganjaran sehingga 50 peratus bagi setiap pembelian baucar menerusi aplikasi terbabit yang boleh digunakan bagi pembelian barangan peribadi di premis terpilih termasuk pengisian petrol.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sekurang-kurangnya 100 laporan polis telah dibuat oleh mangsa-penipuan dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih daripada RM4.6 juta.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa merungut mengatakan ada dalam kalangan pegawai penyiasat yang tidak mahu membawa kes itu secara jenayah dan meminta mereka melantik peguam untuk difailkan saman sivil.

“Saya nak tanya bagaimana nak saman kalau syarikat tersebut sudah tiada dan melarikan diri? Oleh itu, saya minta jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk meneliti laporan-laporan sedia ada dan lakukan siasatan.

“Sekiranya menjurus kepada kes jenayah, tangkap individu yang terlibat, mohon reman dan dituduh di bawah Kanun Keseksaan jenayah tipu kerana memperdaya dan menyebabkan kerugian kepada mangsa.

“Berapa banyak lagi laporan yang perlu dibuat baru siasatan hendak dibuat? Ramai mangsa yang telah rugi sehingga ratusan ribu hanya mahu menuntut keadilan,” katanya pada sidang media bersama mangsa penipuan e-Ganjaran di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Jelas Hishamuddin, mangsa-mangsa terpedaya membeli baucar dalam jumlah yang banyak kerana premis-premis yang bersama syarikat berkenaan  mempunyai prestasi yang baik.

“Pengguna turut terpedaya kerana sindiket menggunakan nama-nama orang kenamaan dalam kalangan penasihat syarikat antaranya kerabat diraja, bekas pegawai polis berpangkat tinggi serta individu tersohor yang merupakan seorang pencetus ummah,” ujarnya.

Menurut Hishamuddin, ada dalam kalangan mangsa yang membeli baucar bernilai antara RM50,000 sehingga RM490,000 kerana mengharapkan subsidi pengurangan pembelian untuk penjimatan.

“Malangnya, setelah ramai yang membeli baucar, pada April 2022 syarikat ini telah menghentikan aplikasi e-Ganjaran dan kesemua baucar dan nilai wang yang ada dalam sistem wallet tersebut hilang dan lesap begitu sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Hishamuddin  kesal kerana ada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas menteri sebelum ini yang menafikan wujudnya penipuan sedangkan ramai mangsa telah kehilangan wang selepas syarikat terbabit telah tutup secara kekal.

Dalam pada itu, beliau menasihati supaya rakyat Malaysia sentiasa berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tawaran ganjaran yang begitu banyak kerana sindiket ‘menjelma semula’ menggunakan nama berbeza tetapi modus operandi yang sama. – MalaysiaGazette