Sekumpulan media bergambar di salah satu lokasi menarik di Busan, Korea Selatan.

BUSAN – AirAsia X Bhd (AAX) menyasarkan untuk kembali beroperasi sebanyak tujuh kali seminggu ke Korea Selatan, seperti mana sebelum pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail berkata, syarikat penerbangan  yang memulakan semula operasinya di bandar pelabuhan terbesar di negara itu semalam, mengendalikan tiga penerbangan secara terus setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Busan.

Penerbangan sulung itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 2.10 pagi, dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada 9 pagi.

”Busan memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan baharu dan mengukuhkan kepimpinan pasaran AAX di Asia Utara melalui penyediaan tambang bernilai terbaik dan memacu persaingan yang lebih hebat dalam pasaran sejak permulaan laluan itu pada 2013.

“Oleh itu, kami menyasarkan untuk membawa lebih 200,000 penumpang ke dan dari Busan, jauh lebih baik daripada tahap pra-pandemi pada 2019, berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya sempena penyambungan semula penerbangan AAX ke Busan di Gimhae Lapangan Terbang Antarabangsa.

Menurutnya, pasaran Korea Selatan menyumbang sebanyak 15 peratus kepada syarikat.

“Sebaik sahaja pintu sempadan dibuka, kita mulakan dengan laluan ke Korea Selatan dahulu, ia berjalan dengan baik dan lepas itu kita buat laluan ke Jepun dan ini adalah dua pasaran besar bagi AAX,” tambah Benyamin.

Sementara itu, Presiden Organisasi Pelancongan Busan (BTO), Lee Jong-Sil berkata, pihaknya berbangga dengan AAX yang kembali ke bandar kedua terbesar Korea Selatan itu.

Menurut beliau, dengan adanya laluan ini maka lebih ramai pelancong dari Malaysia dapat memasuki Busan dan sebaliknya.

Presiden Organisasi Pelancongan Busan (BTO), Lee Jong-Sil
Lee Jong-Sil

”Penerbangan ini amat bermakna untuk memulakan kembali laluan Kuala Lumpur ke Busan dan ramai yang menggunakan perkhidmatan ini sebelum pandemik dan saya amat gembira.

”Dengan adanya laluan tujuh kali seminggu, ia akan dapat meningkatkan kadar pengunjung ke Busan,” katanya dalam sesi bersama media, malam tadi.

Pada sidang media sama, Benyamin berkata, AAX akan mengumumkan prestasi kewangan 2022 pada bulan depan.

Menurutnya, prestasi kewangan AAX berada dalam kedudukan lebih baik didorong oleh harga tambang dan kadar muatan.

”AAX kini berada dalam keadaan yang baik untuk bangun semula dalam pasca pandemik Covid-19 dengan menyaksikan beberapa penyambungan semula laluan antarabangsanya,” ujar beliau.

Bulan lalu, AAX turut dilaporkan telah membawa 417,195 penumpang dengan jumlah kapasiti 536,491 tempat duduk dalam tahun kewangan penuh 18 bulan berakhir 31 Disember 2022.

AAX membawa 417,195 penumpang dengan jumlah kapasiti 536,491 tempat duduk dalam tahun kewangan penuh 18 bulan berakhir 31 Disember 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast