Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Gagasan Bangsa mempersoalkan bilangan ‘penceroboh’ tanah di Raub yang besar jumlahnya ketika mengadakan perhimpunan dengan wakil-wakil rakyat DAP, dua hari lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Pemandu Gagasan Bangsa, Aminuddin Yahaya berkata, beliau hairan bagaimana penceroboh tanah di kawasan itu boleh mencecah sehingga 500 orang sedangkan kebiasaannya hanya dua hingga tiga individu sahaja.

“Fuh, bayangkanlah bagaimana penceroboh-penceroboh tanah boleh berakar umbi dan beranak-pinak menjadi bilangan sebesar ini.

“Jumlah ratusan ini saya tidak pasti apakah termasuk pekerja-pekerja buruh. Kalau tidak, pastinya boleh cecah ribu.

“Memang luar biasa punya gandaan haramnya itu. Dahsyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aminuddin mendakwa, sememangnya wakil-wakil rakyat sangat istimewa bagi para penceroboh tanah di situ kerana berada di barisan hadapan perhimpunan tersebut.

“Mana taknya, sebelum ini baru sahaja Ahli Parlimen Raub (DAP) membuat gesaan kepada kerajaan negeri supaya undang-undang tanah mengenai penanaman durian dilihat semula.

“Malah, memang DAP istiqamah memberikan dukungan sejak peringkat awal lagi. Mestilah sayang sangat.

“Inilah DAP yang Tok Mat dan UMNO sayang sangat tu. Memang terbukti mereka ini tidak bermuka-muka dan jujur; walaupun haram tetap sokong tanpa berselindung,” ujarnya.

Secara sinis, Aminuddin berkata, adalah lebih elok selepas ini kalau dijemput bersama Ketua Bahagian UMNO Raub ke himpunan itu dan jika mahu lagi lengkap bolehlah dipelawa untuk membawa bersama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette