Shahrizat Abdul Jalil
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. foto HAZROL ZAINAL, 12 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Cadangan agar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua UMNO UMNO disifatkan agak ke belakang dan boleh menutup ruang untuk pemimpin muda memberi sumbangan kepada parti.

Penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, era kepimpinan Shahrizat sudah berlalu dan Wanita UMNO kini memerlukan seorang ketua yang dilihat lebih bersesuaian dengan pemikiran abad ke-21 serta berupaya mengungguli wacana-wacana baharu.

Awang Azman Awang Pawi

Menurut beliau, pemimpin yang lebih muda juga mampu mengikis imej ‘makcik’ yang dikaitkan dengan Wanita UMNO justeru membawa imej wanita moden yang lebih memahami pelbagai aspek berkaitan politik dan perjuangan wanita masa kini.

“Negara perlu pemimpin untuk masa depan, kita tidak perlu bernostalgia tentang masa lalu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Awang Azman diminta mengulas cadangan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah semalam agar Shahrizat menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO yang pernah disandangnya mulai 2009 hingga 2018.

Shahrizat telah mengumumkan untuk bersara dari politik dan melepaskan semua jawatan dalam parti pada 23 Jun 2018.

Para perwakilan wanita bahagian di seluruh negara akan memilih barisan kepimpinan Wanita UMNO bagi penggal yang baharu pada 11 Mac ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang ‘kemunculan semula’ Shahrizat setelah lama menyepikan diri selepas Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, Awang Azman menambah, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pula tetap setia bersama parti sehingga UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Malah, beliau telah menunjukkan kesetiaannya terhadap UMNO apabila sanggup meletak jawatan sebagai menteri bagi mematuhi keputusan pucuk pimpinan sehingga menimbulkan perasaan kurang senang Perdana Menteri ketika itu,” jelasnya.

Secara keseluruhan, Awang Azman berpendapat, ahli-ahli Wanita UMNO mahu pemimpin yang lebih muda untuk mengetuai mereka namun keputusan sebenar adalah bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh perwakilan kelak.

Shahrizat
Kartini Aboo Talib

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berpandangan, Wanita UMNO mungkin boleh memberi peranan kepada Shahrizat sebagai penasihat.

Beliau mengakui Shahrizat memang seorang wanita yang bijak namun skandal National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan suaminya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail masih segar dalam ingatan rakyat.

Kartini menambah, UMNO juga kini berada dalam zaman yang sukar dan penuh cabaran di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Mengundang beliau yang sudah senior akan menyebabkan seolah-olah UMNO ketandusan pemimpin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast