Aktiviti bermandi manda menjadi pilihan pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga pada Pra-Pembukaan Taman Tema Air SplashMania Gamuda Cove antara taman tema yang menyediakan 24 gelongsor dengan memberi pengalaman gelongsor air pertama di Malaysia yang bakal dibuka secara rasmi bermula 6 Feb ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tema Air SplashMania, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBRUARI 2023.

BANTING – Taman Tema Splashmania yang dibangunkan Gamuda Land dengan keluasan 18 ekar akan dibuka kepada orang ramai bermula 6 Februari ini.

Ia merupakan taman tema air terbesar yang menawarkan 24 gelongsor dan 15 tarikan utama dengan beberapa daripadanya adalah pertama seumpamanya di Malaysia, termasuk gelongsor air realiti maya.

Selain itu, terdapat tiga tarikan menarik buat pengunjung iaitu Shaka Waka, Wild Rush dan Atlantis VR.

Pengunjung mencuba salah satu gelongsor air pada pra-pembukaan Taman Tema Air SplashMania Gamuda Cove. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBRUARI 2023.

Pengunjung yang datang  boleh mencuba gelongsor air Shaka Waka, gelongsor air yang dilengkapi dengan multimedia dan audio sepanjang 78 meter.

Bagi mereka yang gemar cabaran, mereka boleh menggunakan gelongsor air Wild Rush, iaitu gabungan gelongsor lengkung, titisan dan gelung pusaran yang mana pada penghujungnya mereka akan terjun ke dalam kolam sedalam 3.35 meter.

Sementara itu, Atlantis VR pula memberikan pengalaman yang mengasyikkan selain daripada gelongsor air biasa.

Difahamkan, pengungjung akan diberikan peranti realiti maya dan menikmati pengalaman  berbeza dengan memulakan perjalanan maya 250 meter melalui Lost City of Atlantis.

Antara kolam tarikan pengunjung di Taman Tema Air SplashMania Gamuda Cove. Foto MUHD NA’IM, 02 FEBRUARI 2023.

Taman tema air itu turut dilengkapi dengan laluan sungai sepanjang 400 meter yang boleh dinaiki bersama kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh merasai pengalaman berada di kawasan ombak dan jakuzi.

Tiket-tiket bagi taman tema air itu dijual pada harga promosi bermula 6 Februari hingga 31 Mac iaitu RM79 untuk dewasa dan RM63 bagi kanak-kanak.

Orang ramai boleh membuat pembelian tiket itu melalui aplikasi Android dan IOS dengan muat turun GL Play dengan mudah tanpa perlu beratur panjang di kaunter tiket. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast