KUALA LUMPUR – Pas berharap sambutan perayaan Thaipusam yang akan diraikan oleh masyarakat Hindu hari ini dan esok akan berlangsung dengan lancar, harmoni dan selamat.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, paling utama adalah tiada pihak terlibat dengan insiden yang membahayakan ketika sambutan berkenaan.
“Sempena sambutan tahun ini, Pas juga berharap ia akan berjalan dalam suasana harmoni, lancar dan, paling utama, selamat kepada semua pihak tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini dan boleh membahayakan, baik dalam kalangan pesertanya mahu pun khalayak awam.
“Semoga semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada kebaikan bersama semua rakyat dan negara kita. Selamat bercuti dan menyambut Hari Thaipusam,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau mewakili Pas mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada masyarakat Hindu di negara ini.
Takiyuddin juga menyifatkan perayaan kedua terpenting bagi penganut Hindu terserbut mempunyai ciri yang unik dan mampu menarik perhatian pelancong asing.
“Sebagai perayaan kedua terpenting bagi penganut agama Hindu di negara ini selepas Deepavali, perayaan Thaipusam adalah salah satu daripada ciri unik kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat kita, sekali gus mempunyai tarikan tersendiri, terutamanya kepada pelancong asing,” tambahnya.-MalaysiaGazette
Ni ulasan tanda2 nk masuk musim pilihanraya. Lemah!