Gambar hiasan.

KUANTAN – Sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kuantan sehingga jam 2 petang tadi ekoran hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, seramai 1,310 mangsa banjir membabitkan 342 keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan.

Antara PPS yang dibuka ialah Dewan Orang Ramai Kampung Seri Mahkota, Dewan Orang Ramai Seri Damai, Dewan Dato Manan, Dewan Orang Ramai Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Taman Tas dan Wisma Belia.

Sementara itu, aras air di lapan sungai utama di Pahang membabitkan Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin menunjukkan trend meningkat sehingga jam 2 petang hari ini.

Menurut data Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Pahang, paras air di Sungai Lembing, Sungai Kuantan dan Sungai Belat, di sini, kini melebihi paras bahaya.

Katanya, paras air di Sungai Keratong, Rompin kini berada pada tahap amaran dan akan melepasi paras bahaya jika hujan berlarutan.

Dalam pada itu, JBPN Pahang memaklumkan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Paloh Inai, Pekan; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi kini hampir mencecah paras amaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat berlarutan beserta ribut petir di seluruh Pahang sehingga esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast