Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki selepas Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Februari 2023 di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA- Penjawat awam disaran mengamalkan cara kerja dan perkhidmatan terbaik dalam usaha membebaskan rakyat daripada ‘penghambaan’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi termasuk menindas serta mengambil hak mereka.

Menurut beliau, penjawat awam wajar mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi seperti mana yang dituntut dalam al-Quran.

“Kalau dalam kerja kita, jabatan kita, negara kita, tidak boleh terlepas daripada keikhlasan kita untuk bebaskan.

“Dalam konteks kupasan ulama silam, disebut bebaskan manusia daripada perhambaan.

“Kupasan ulama semasa mengaitkan dalam apa bentuk penindasan manusia itu dihambakan atau separa hamba.

“Bebaskan rakyat kita, warga kita dan manusia itu daripada segala bentuk penindasan, perbodohkan rakyat, ambil harta rakyat hingga hak mereka tersisih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari 2023 di Dewan Seri Endon di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – MalaysiaGazette