KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang dipercayai terjun ke dalam sungai di Kampung Bukit Tumbuh, bawah Jambatan Sultan Mahmud di sini ditemui mati malam tadi.
Menurut Facebook Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dilakukan sebelum menemui mangsa pukul 9.10 malam.
Mangsa berjaya ditemui pada jarak 50 meter daripada lokasinya disyaki terjun iaitu di dasar sungai dengan kedalaman tiga meter.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 9.50 malam.
Sebelum itu, JBPM Terengganu telah menerima panggilan kecemasan tentang kejadian lemas tersebut pukul 7.40 malam sebelum menggerakkan pasukannya ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan. – MalaysiaGazette