Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang menambahbaik draf dua Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat tahun lalu bagi memastikan penekanan kepada kesalahan itu secara holistik dan merangkumi semua aspek perundangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, dua RUU itu ialah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 berhubung kesalahan menghendap.

RUU itu telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022, bacaan kali kedua dan ketiga pada 3 Oktober 2022 dan telah diluluskan selepas mendapat undi lebih suara daripada 192 Ahli Dewan Rakyat yang hadir.

Bagaimanapun, berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, RUU berkenaan tidak dapat dibentangkan di Dewan Negara pada sidang Parlimen yang sama dan perlu dibentang semula di pada sidang akan datang.

“Selepas ditubuhkan Kerajaan Perpaduan, saya tetap komited untuk mewujudkan undang-undang berhubung kesalahan menghendap.

“Sejak Januari lalu, saya telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Women’s Aid Organisation dan juga Badan Peguam Malaysia bagi meneliti semula peruntukan dua RUU ini dan mendapatkan pandangan mereka.

“Justeru, satu Memorandum Jemaah Menteri berhubung RUU ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.

Menurut Ramkarpal, kedua RUU itu tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentang semula di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen minggu depan. – MalaysiaGazette