SEPANG – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM4 juta bagi Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, misi kemanusian itu dijangka akan tiba di Istanbul hari ini dan akan berada di Turkiye serta Syria selama 17 hari.
Sebagai pendahuluan pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membeli barangan keperluan yang akan disumbangkan kepada mangsa di wilayah terjejas.
“Ini antara misi yang melibatkan dua negeri serta wilayah yang besar dan berdasarkan laporan Turkiye kita dapat nilaikan betapa keadaan agak gawat walaupun terkawal.
“Peringkat awal, kita gunakan sumbangan sedia ada daripada orang ramai kepada MAPIM kerana kita baharu sahaja lancarkan Tabung Bantuan Kecemasan itu semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Gaziantep Turkiye dan Syria oleh MAPIM yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.
Tambah Ahmad Sani, misi kali ini, MAPIM tidak dapat membantu daripada segi operasi dan menyelamat (SAR) kerana kekurangan anggota delegasi yang hanya melibatkan seramai 11 orang termasuk empat petugas media.
“Dengan kekuatan yang ada ini, kita hanya dijemput oleh agensi wakaf kerajaan Turkiye untuk membantu khususnya bantuan barangan asas kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi gempa itu.
“Antara bantuannya seperti selimut musim sejuk, khemah, makanan panas, ubat-ubatan dan iamelibatkan jumlah yang besar untuk kedua-dua negara yang mana Gaziantep sempadan A’zaz, Syria,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Ritcher melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan mengegarkan beberapa wilyaha lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malaya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.
Sementara itu, wakil MalaysiaGazette, Razali Awang dan Fareez Fadzil yang turut serta dalam misi itu berkata, antara cabaran yang akan dihadapi adalah faktor suhu yang sejuk dan perjalanan yang lama ke destinasi.
Ia kerana terdapat beberapa bangunan seperti Lapangan Terbang Gaziantep ditutup akibat kesan gempa bumi yang melanda Turkiye.
“Kemusnahan sebenarnya sukar untuk digambarkan dan bagi kami sebagai petugas media ia adalah pengalaman yang benar-benar menguji fizikal dan mental serta emosi.
“Ini kerana terdapat ribuan mangsa masih terperangkap di bawah sisa runtuhan malah operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan.
“Selain itu, cabaran dalam misi kemanusian ini, kami terpaksa menempuh perjalanan hampir 12 jam daripada Istanbul ke Gaziantep dan suhu di sana juga sudah berada bawah paras beku,” ujarnya. – MalaysiaGazette