Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pihak sekolah serta kontraktor pembersihan yang dilantik disaran mengambil tindakan mengawal pembiakan nyamuk di sekolah yang berisiko menyebabkan demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu disebabkan sekolah akan ditinggalkan susulan cuti akhir persekolahan yang akan bermula pada 17 Februari ini.

Ia juga disebabkan sebahagian pelajar sekolah menengah sedang mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan ruangan kelas digunakan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 30 Januari sehingga 15 Mac ini.

Katanya, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam pam tandas, tangki air dan kolam hiasan serta memastikan tiada air bertakung di alas pasu, tempat sampah, kon dan mesin penapis air.

“Lupuskan barang lusuh dan hapuskan bekas potensi pembiakan nyamuk Aedes dengan cara berhemah. Lakukan semburan aerosol pada awal pagi, sebelum memulakan ujian SPM atau hari pertama sesi pembelajaran.

“Pakai pakaian yang menutup anggota badan dan gunakan bahan repelan nyamuk di anggota badan yang terdedah semasa melakukan aktiviti luar pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes, iaitu pukul 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi kelima (ME5) tahun ini mencatatkan peningkatan 13 peratus, iaitu 2,159 kes berbanding 1,910 pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian direkodkan.

“Kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini adalah 11,127 kes berbanding 3,573 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 7,554 kes. Enam kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding sifar kematian bagi tempoh sama pada 2022,” ujarnya.

Survelan chikungunya pula merekodkan sebanyak 20 kes pada ME5 dengan 10 kes dari Kedah, lima kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua dari Pulau Pinang dan Pahang dan satu kes dari Selangor, kata Dr Noor Hisham. – MalaysiaGazette