JPN Selangor Ministry of Education (MOE) teacher rape jokes SMK Puncak Alam Ain
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM)  menyatakan rasa terkejut serta memandang serius isu dakwaan seorang guru sekolah mendorong pelajarnya supaya menukar agama kepada Islam.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesan penularan video satu sidang media yang menyentuh isu itu di media sosial pada 8 Februari lalu.

Sehubungan itu, KPM menyatakan kesediaan memberi sepenuh kerjasama kepada siasatan polis sekiranya sebarang laporan  dibuat daripada pihak pelajar yang terjejas.

“KPM telah mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung kenyataan video tular tersebut.

“Siasatan awal telah dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat dan KPM memandang serius terhadap isu yang dilaporkan ini,” katanya dalam kenyataan itu.

KPM juga menegaskan hal agama tidak boleh dijadikan persendaan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan negara.

“Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan kaum atau agama.

“KPM juga tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama,” katanya lagi.

BACA: Dorong pelajar peluk Islam, polis sudah ambil keterangan saksi

Terdahulu, pada 7 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung insiden itu.

Dalam laporan itu, wanita berkenaan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap seorang guru lelaki berusia 40-an yang dikatakan mendorong anak lelakinya yang merupakan pelajar berusia 15 tahun di sekolah itu untuk memeluk Islam.

Rentetan daripada laporan, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

“Sehingga kini beberapa orang saksi telah dirakam percakapan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini,” kata Zam Halim lagi. – MalaysiaGazette