Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil beberapa orang saksi bagi membantu siasatan berhubung kes tidak puas hati terhadap guru sekolah yang didakwa mendorong pelajarnya memeluk agama Islam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, polis telah menerima aduan daripada seorang wanita tempatan mengenai kejadian itu kelmarin, pada jam 10.21 pagi.

Dalam laporan itu, pengadu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap seorang guru lelaki sekolah berkenaan yang dikatakan mendorong anak lelakinya untuk memeluk agama Islam.

Zam Halim berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama.

Siasatan juga dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam, katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, beberapa orang saksi telah dipanggil dan selesai dirakam percakapan.

Pada masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala
Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette