Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan anggota tentera ketika melakukan lawatan di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Sepasukan Kor Kesihatan Diraja (KKD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerak ke Turkiye awal pagi esok untuk mewujudkan hospital medan susulan gempa bumi yang melanda negara itu tiga hari lepas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata seramai 106 anggota tentera termasuk 41 doktor akan digerak ke negara itu selain kelengkapan termasuk tiga dewan mudah alih yang digunakan untuk kecemasan dan satu dewan bedah mudah alih.

“ATM telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai perkara berkenaan. Setelah berunding dengan Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur, kita mengambil keputusan untuk mengerakkan pasukan berkenaan.

“Hospital medan berkenaan akan beroperasi selama enam minggu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kem Lok Kawi (Markas 5 Briged) di sini hari ini.

Mohamad berkata peralatan hospital itu akan dihantar secara berperingkat dan hospital berkenaan adalah sama seperti fasiliti hospital medan yang pernah diwujudkan ATM ketika berdepan pandemik COVID-19 sebelum ini.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya masih belum mengetahui lokasi hospital medan itu kerana bencana tersebut melibatkan kawasan yang luas dan menyerahkan kepada kerajaan Turkiye untuk menentukan kawasan sesuai bagi mendirikan hospital medan.

“Apa yang penting kita mahu semua pasukan yang dihantar ke sana dapat menyelesaikan misi dengan selamat. Kita tahu bahawa akan ada gegaran susulan oleh itu, mereka kena berhati-hati,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerja ke Sabah, Mohamad berkata ia bagi meninjau fasiliti dan kemudahan Kem Tentera di Pantai Barat Sabah selain keadaan pengoperasian dan kesiapsiagaan ATM serta warga kerja Kementerian Pertahanan.

“Saya telah melawat pangkalan Armada Timur di Sepanggar dan saya berpuas hati dengan pengoperasian mereka. Pangkalan itu agak baharu dan tiada masalah dari segi bangunan namun ada sedikit masalah kelewatan peruntukan untuk menyelenggara aset dan itu kita akan selesaikan dengan segera.

“Saya juga mengadakan lawatan di Kem Lok Kawi dan kita sedia maklum kem ini sudah lama dan banyak masalah yang timbul khususnya dari segi infrastruktur. Jadi kita akan berusaha menaik taraf apa-apa yang telah usang kerana kita mahu anggota dan pegawai yang bertugas selesa,” katanya.

Pada masa sama, beliau telah kertas kerja disediakan bagi tujuan memindahkan klinik di dalam kawasan kem itu.

“Klinik berkenaan akan dinaiki air setiap kali hujan lebat oleh itu, klinik ini akan dipindahkan ke satu bangunan sedia ada yang telah dikosongkan namun kita mahu melihat kertas kerja terlebih dahulu dan saya rasa kementerian tiada mempunyai masalah mengenai perkara berkenaan,” katanya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast