BANGKOK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengunjungi Pusat Islam Thailand, di sini.
Ia merupakan majlis terakhir beliau sebelum mengadakan sidang media dengan wartawan Malaysia dan berlepas pulang ke tanah air pada petang ini bagi menamatkan lawatan kerja selama dua hari ke Thailand.
Dalam kunjuan itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat Jumaat dan beramah mesra dengan umat Islam di ibu negara Thailand ini.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, tiada pekerjaan yang lebih indah, murni dan baik melainkan pekerjaan yang menuju kepada kebaikan.
“Maknanya ukhwah kental, ikhlas yang ada, akhlak yang baik, niat yang murni untuk Allah SWT, tapi tidak selesai dengan percakapan, pertuturan. Maknanya orang Islam kena kental dan kuat kerana amalnya.
“Saya percaya di Thailand ini, walaupun Islam itu minoriti tetapi kita harus ada tanggungjawab kita dan jaga akhlak kita,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang bertemu dengan Ahli Jawatankuasa pusat Islam selepas solat Jumaat berkata, beliau mengikuti perkembangan di selatan Thailand.
“Oleh sebab itu apabila saya mendapat mandat (menjadi Perdana Menteri), rakan-rakan saya berpendapat kami perlu mengukuhkan hubungan yang lebih baik dan memahami beberapa isu dan masalah termasuk masalah kritik di selatan (Thailand),” ujarnya.
Tambahnya, beliau banyak menghabiskan masa dengan Perdana menteri, Thailand, Jeneral Prayut Chan O cha untuk cuba memahami dan menyelesaikan isu itu secara bijak.
Menurutnya, masalah di selatan Thailand tidak mempunyai penyelesaian alternatif selain daripada keamanan.
“Keamanan boleh diperoleh menerusi keadilan dan juga dengan menerima hakikat bahawa Islam adalah untuk Ihsan Warrahmah,” katanya sambil menambah penyelesaian kepada masalah tersebut boleh dicapai. – MalaysiaGazette