Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan agar terus fokus kepada masalah rakyat dan tidak perlu campur tangan dan berteka-teki dalam proses penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim, kerajaan seharusnya membiarkan pihak yang mempunyai kepakaran melakukan penyiasatan dan merakam percakapan.

“Jika terdapat salah laku maka pendakwaan akan dibuat di mana rakyat akan menilai sendiri keputusannya.

“Jangan kita berteki-teki dan membuat andaian berkaitan penyiasatan SPRM, sekejap rasuah RM600 billion selepas itu turun kepada RM92.5 bilion, selepas itu RM5 billion dan sekarang dikatakan RM300 juta selepas ini berapa lagi diskaun.

“Rakyat tidak mahu dengar andaian-andaian dan teka-teki ini semua. Bab ini kita serahkan kepada kepakaran pegawai penyiasat SPRM yang terlatih untuk membuat penyiasatan, jangan kita mendahului penyiasatan.

“Kita tak nak perkara lama berulang sebagai contoh Low Taek Jho atau Jho Low yang sempat melarikan diri ke luar Negara dan sukar dikesan serta di ekstradisi semula ke Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohamad Shafiq merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana menyeru pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan kepada SPRM bagaimana parti itu mampu mengumpulkan sebilangan besar wang dalam masa singkat.

Anwar berkata, ia ekoran akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Mohamad Shafiq turut berkata, kerajaan mempunyai banyak perkara lain yang perlu difokuskan terutamanya isu berkaitan permasalahan rakyat harus diutamakan khususnya melibatkan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan peluang pekerjaan.

Ujar Mohamad Shafiq, banyak janji yang telah ditawarkan sepanjang tempoh berkempen Pilihanraya Umum ke 15 (PRU-15) dan perlu dikotakan segera.

“Rakyat sedang menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian mereka dalam mengurus tadbir dan merangka dasar dan polisi demi kepentingan rakyat serta perlaksanaan janji manifesto.

“Bajet akan dibentangkan pada 24 Februari 2023 ini di Dewan Rakyat, bayangan bajet itu sendiri rakyat tidak nampak. Apakah manfaat kepada rakyat khususnya golongan belia dan B40 yang sangat terkesan sekarang ini.

“Adakah rakyat diberi peluang untuk memberi komen dan pandangan terhadap bajet yang akan dibentangkan dua minggu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast