Fuziah mengadakan tinjauan Menu Rahmah di sebuah restoran di Taman Rinting, Masai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang berbincang untuk memberikan insentif khas kepada para peniaga yang menjual Menu Rahmah di seluruh negara dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, antara inisiatif dibincangkan, keperluan tambahan kuota pekerja kepada restoran-restoran terlibat.

Justeru, pihaknya menyarankan lebih banyak restoran menyertai program Menu Rahmah sekali gus menampung keperluan restoran sedia ada setakat ini.

Sehigga kini, 31 persatuan melibatkan lebih 12, 000 ahli menyatakan minat menyertai program Menu Rahmah.

“Kita belum meletakkan nilai fiskal tetapi inisiatif ini sukarela di dalam sama-sama peniaga ini membangunkan satu ekosistem yang memahami masalah yang dihadapi rakyat menangani kos sara hidup.

“Kini menjadi viral dan keberuntungan manfaat ini bukan sahaja dikecapi golongan memerlukan seperti B40 tetapi juga kepada peniaga supaya boleh memasarkan restoran mereka juga.

“Jika ini dilakukan lebih ramai pengguna ingin mengetahui restoren tertentu yang membawa konsep itu,” katanya selepas mengadakan tinjauan Menu Rahmah di sebuah restoran di Taman Rinting, Masai hari ini.

Jelas Fuziah, kerajaan terus mengalu-alukan penyertaan pengusaha makanan untuk bersama-sama menyambut seruan kerajaan menyertai Program Menu Rahmah.

Terdahulu lebih 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bermula sejak Januari lalu.

Kerajaan setakat ini tidak bercadang memberikan subsidi bagi mengurangkan beban pengusaha kedai makan sebaliknya mungkin memberi insentif kepada pengusaha yang terlibat dalam memperkenalkan menu berkenaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast