Anthony Loke menunjukkan paparan pada skrin telefon bimbit menerusi langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras JPJ terhadap pengunaan mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau ‘cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian secara fizikal bermula hari ini.

Ini kerana pemandu boleh menggunakan mod paparan LKM digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM) menerusi langkah pendigitalan dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal bagi rakyat Malaysia.

“Kita akan mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya.

“Bagi pemandu yang belum bersedia, anda masih boleh mengekalkan amalan memapar pelekat LKM di kenderaan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Anthony lagi, inisiatif itu bertujuan mengatasi isu pelekat LKM yang kerap rosak dan bermasalah sebelum ini.

Beliau berkata, orang awam boleh mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ atau aplikasi mobile MyJPJ menerusi App Store, Play Store dan Huawei App Gallery.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, menerusi inisiatif pendigitalan itu, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi akan dikuatkuasakan.

Ujarnya, pengecualian itu akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pegakutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette