KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi individu hari ini.
Mereka yang turut berbuat demikian ialah bekas Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Marzuki Yahya; bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya.
Turut meninggalkan Pejuang ialah Armin Baniaz Pahamin, Afiqah Mohamad, Azman Mohd. Hashim, Datuk Nuhairi Rahmat, Mohd Jaffri Hussain, Mohamad Jani, Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal.
Salinan surat berhubung keputusan 13 individu terbabit kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dikongsi dalam laman Facebook Marzuki Yahya malam ini.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada bekas perdana menteri berkenaan.
Dalam surat tersebut, mereka memaklumkan tidak lagi menjadi ahli Pejuang berikutan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
“Keputusan Pejuang memutus hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
“Bagi kami matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatu-padukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
“Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA,” kata mereka.
Perkembangan terkini dalam Pejuang itu turut mengundang reaksi pentadbir laman Facebook Najib Razak.
“Wayang apa pulak malam malam ni? Hari itu bukan ke boboi yang umum Pejuang keluar GTA?” soalnya.
Situasi dalam Pejuang diibarat seperti ‘retak menanti belah’ berikutan keputusan buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan semua calonnya termasuk Dr. Mahathir kalah di 125 kerusi yang ditandingi dan hilang wang deposit.
Dr. Mahathir disahkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang pada 16 Disember lalu namun beliau masih mengekalkan jawatan Pengerusi GTA.
Pada 14 Januari lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan Pejuang keluar dari GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.
Sebelum ini, Khairuddin pernah mendedahkan tentang kemelut dalam Pejuang ekoran keputusan keluar dari GTA sehingga menyebabkan tercetus pergeseran dalaman antara puak yang masih setia dengan Dr. Mahathir dengan kepimpinan parti sedia ada. – MalaysiaGazette