Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy diingatkan jangan menghina orang Melayu apabila menggesa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya “memecah monopoli orang Melayu dalam perkhidmatan awam”.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan menegaskan, kenyataan Ramasamy itu seolah-olah orang Melayu ‘tidak boleh pergi jauh’ dan hanya bergantung kepada bekerja dengan kerajaan semata-mata.

Jelasnya, isu ini tidak perlu disebut-sebut lagi pun. kerana orang Melayu bekerja dengan kerajaan disebabkan rasa tanggungjawab, kesetiaan dan kredibiliti mereka dalam pekerjaan tersebut.

Mereka memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard.

Sedangkan, orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam kerana mereka memikirkan skim gaji yang kecil.

Orang Melayu pula sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat patriotisme dan memastikan agar negara dapat ditadbir dengan baik.

“Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menggesa Perdana Menteri mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai kerana ia digunakan oleh Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

Mengulas lanjut, Hasmuni mengingatkan Ramasamy jangan bermain api atau “menjolok sarang tebuan” dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Anwar.

Tegas beliau, Ramasamy mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Anwar disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati.

Padahal, orang Melayu “bermain di padang yang rata”. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hasmaun ni mesti UMNO totok kurang berfikir.
    Ramasamy tu seorang pejuang dan berfikiran jauh serta terbuka dan utamakan merit.
    Orang PKR seorangpun tiada bersungut dan menaruh rasa risau dan hasmaun ni pula bagai menyemai benih lumut yang merosakkan warna pemerintahan Anwar Ibrahim.
    Anwar lantik awang ni sebagai pemikir Putrajaya ke?
    rosak rosak rosak punah

Comments are closed.