Pelajar jurusan Teknologi Kejuruteraan, Maryam Farzana Mohamad Sokri bergambar bersama Anugerah Canselor yang diterimanya pada Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bermula daripada pertanyaan bagaimana belon terbang, membuatkan penerima Anugerah Canselor Universiti (UniKL), Maryam Farzana Mohamad Sukri jatuh cinta untuk menceburi bidang kejuruteraan.

Graduan ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (automotif) dari UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) itu berkata, beliau bertanyakan soalan itu kepada ayahnya ketika berusia lima tahun.

“Ayah berkata ia disebabkan oleh ketumpatan yang berbeza dalam belon itu membolehkan ianya untuk terbang.

“Perkara itu membuatkan saya berasa kagum. Oleh kerana ayah juga adalah seorang jurutera, ia benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk mencuba dan mengembangkan minat dalam kejuruteraan.

“Selain itu, ibu saya dan Taylor Swift juga menjadi insporasi saya, yang mana mereka lebih kepada membina diri saya sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-19 UniKL 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Maryam yang kini sedang bekerja sebagai seorang jurutera pembangunan produk di sebuah syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, kekurangan golongan wanita dalam bidang kejuruteraan membuatkan dia perlu menjadi salah seorang yang menyokong golongan ini dari segi pembangunan teknologi .

“Kesukaran yang dihadapi kebanyakan wanita dalam bidang kejuruteraan ialah mereka tidak diberi peluang untuk menonjolkan bakat yang ada kerana orang luar beranggapan golongan lelaki lebih cemerlang dalam bidang tersebut,” katanya.

Perkara tersebut adalah salah satu stigma yang perlu dipecahkan dan golongan wanita haruslah diberi lebih banyak peluang untuk membuktikan kemahiran mereka setanding dengan golongan lelaki.

Mengulas lanjut, Maryam berkata, rancangan masa depannya untuk 10 tahun akan datang adalah menjadi Pengarah Pembangunan Teknologi wanita termuda dan berharap ianya menjadi kenyataan.

“Saya rasa banyak lagi peluang yang Malaysia boleh buat dari segi pembangunan teknologi kerana kebanyakan syarikat berpotensi seperti syarikat asing kebanyakannya melabur di negara ini.

“Jadi ianya peluang yang baik untuk terus memupuk bakat dan UniKL adalah tempat yang sesuai untuk merealisasikannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast