Kesemua 19 warga Myanmar itu dalam kebun getah ketika cuba masuk negara melalui sempadan Thailand semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar menyeludup masuk dari Thailand melalui kebun getah berjaya digagalkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), semalam

2 Divisyen dalam satu kenyataan berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan telah mengesan dan menahan tujuh individu pada jam 9.15 pagi di kawasan ladang getah yang merupakan sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Susulan itu, satu lagi kumpulan seramai 12 orang turut ditahan tidak jauh dari lokasi pertama pada jam 10.30 pagi.

Kesemua mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan lapan wanita berusia antara 21 hingga 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 19 warga Myanmar itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihaknya turut merampas 12 buah telefon bimbit, pelbagai mata wang asing dan Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 8,798.

Tangkapan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kesemua Pati itu diserahkan kepada Polis Bukit Kayu Hitam bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette