Datuk Masir Kujat

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat diterima menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan dilantik sebagai Setiausaha Agung parti berkenaan.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng berkata, selain bekas Ahli Parlimen Sri Aman itu beberapa individu lain turut diterima menyertai PBM.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBM yang pertama, baru-baru ini.

“Dato Masir Kujat (bekas MP Sri Aman) dan beberapa profesional Dayak telah memohon untuk menyertai PBM.

“Beliau (Masir) juga dilantik sebagai Setiausaha Agung parti pada mesyuarat Majlis Tertinggi kami yang pertama tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambahnya, beberapa pelantikan lain turut dibuat dan penstrukturan semula beberapa jawatankuasa negeri telah selesai.

“PBM bergerak ke hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette