KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu yang menjual jus campuran ketamin di pusat pusat hiburan di sekitar ibu negara dalam Op Breadnut pada 8 Februari lalu.
Lima suspek, termasuk dua wanita yang mana salah sorang merupakan warga Thailand, menjual minuman tersebut pada harga RM300 sebotol.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan dadah jenis syabu, ketamin, MDMA bernilai RM224,000 beserta dua kereta dan wang tunai.
“Jus dadah itu dibancuh di luar kawasan pusat hiburan selepas menerima tempahan dan kemudian akan dijual dan diedar kepada pengunjung pusat hiburan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Op Breadnut merupakan salah satu daripada tiga operasi membabitkan 10 serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSSN) Kuala Lumpur dan Bukit Aman bermula 7 hingga 9 Februari lalu.
Menurut Azmin, sindiket itu bergerak aktif aktif menjalan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu dan kini kesemua lima suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, menurut Azmi, polis melancarkan lima serbuan berasingan sekitar ibu negara dan Selangor dalam operasi Devon Rex yang bermula jam 3.20 petang pada 7 Februari hingga jam 12.20 tengah malam 8 Februari lalu yang menyaksikan enam lelaki ditahan.
Katanya, suspek yang disyaki ahli sindiket berusia antara 22 hingga 29 tahun itu ditahan bersama 21 kilogram (kg) ketamin dan 2 kg syabu, barang kemas, tiga utas jam tangan mewah, wang tunai dan sembilan kenderaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.7 juta.
Beliau berkata, dalam kes berkenaan suspek berusia 39 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lima lagi suspek telah dibebaskan.
Sementara itu, Azmi memberitahu, dalam Op Catclaw yang bermula jam 5 petang hingga 9 malam 9 Februari lalu pihaknya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 37 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek di sebuah tempat letak kereta pusat membeli belah di Jalan Kuchai Lama, di sini, membawa rampasan ketamin seberat 1kg bernilai RM55,000 dan sebuah kereta miliknya.
“Suspek memiliki dua rekod lampau kesalahan narkotik dan positif syabu serta direman sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan lanjut dan usaha mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat dipergiatkan, Ujarnya.
“Siasatan polis mendapati tiga sindiket berkenaan aktif dalam pengedaran dadah sekitar Lembah Klang secara berasingan dan mendapatkan bekalan dadah itu dari ibu negara dan menjadikan kegiatan ini sebagai punca pencarian yang tetap,” katanya.
Sementara itui, Azmi berkata, dalam ketiga-tiga operasi itu polis merampas dadah bernilai RM1.6 juta bersama barang rampasan yang jumlah keseluruhan sebanyakRM2.1 juta. – MalaysiaGazette