KUALA LUMPUR – Lima sekawan yang giat memecah masuk kedai perkakasan mesin pemotong di sekitar bandar Teluk Panglima Garang, Banting dekat sini tumpas di tangan polis.
Mereka yang aktif melakuan jenayah itu diberkas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Medan, dekat Telok Panglima Garang, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Bin Mohd Nor @ Saleh hari ini.
Tangkapan itu dibuat selepas polis terima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun yang merupakan pemilik kedai.
“Mangsa mengadu antara barang yang hilang disyaki dicuri adalah jigsaw, grinder, hacker, mesin pemotong pokok, mesin pemotong besi, hammer drill dan grinder battery.
“Bertindak atas maklumat itu, pada Ahad jam 5 petang, sepasukan pegawai dan anggota
polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah berjaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Sungai Kapar, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan soal siasat ke atas kedua-dua suspek yang ditangkap itu, polis telah melakukan serbuan kedua pada hari yang sama jam lebih kurang 6.30 petang.
Dalam serbuan itu polis menahan tiga lagi rakan di Telok Panglima Garang.
Pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek itu berjaya merampas sejumlah barangan lain berkaitan perkakasan pemotong.
Kesemua mereka yang berusia antara 27 tahun hingga 37 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
Kini mereka direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette