KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Pasukan Petugas Khas Memudahcara Perniagaan (PEMUDAH) memyambut baik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memansuhkan yuran dokumentasi yang dikenakan oleh bank untuk pinjaman perumahan.

Isu ini telah diusahakan oleh MPC dan PEMUDAH melalui Kumpulan Kerja Teknikal Sektor Awam dan Swasta (TWGPPSE) yang dipengerusikan oleh Datuk Pardip Kumar Kukreja sejak 2019 menyifatkan keputusan itu sebagai langkah tepat dan kena pada masanya dalam mengurangkan beban rakyat yang kini berdepan dengan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

PEMUDAH mengadakan perbincangan dan perbincangan dengan semua pemegang kepentingan utama daripada sektor awam dan swasta dalam menyelesaikan isu ini.

Isu ini dikemukakan oleh Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) pada awalnya yang berpandangan tidak sepatutnya bank-bank mengenakan bayaran bagi dokumen perjanjian pinjaman piawai yang diperlukan dalam proses permohonan pinjaman perumahan.

Datuk Chang Kim Loong, Setiausaha Agung HBA, berkata, firma guaman perlu membeli borang tersebut atau biasanya dimuat turun dokumen daripada portal bank untuk harga antara RM100 hingga RM600, atau kadangkala lebih tinggi.

Perbelanjaan tersebut sudah tentu terpaksa ditanggung pelanggan atau peminjam.

”HBA amat mengalu-alukan langkah BNM untuk menghentikan amalan ini. Peminjam dan pemilik rumah tidak sepatutnya menanggung kos ini,” katanya.

Pengerusi Bersama PEMUDAH, Datuk Dr Ir. Andy Seo Kian Haw berkata, pihaknya dan MPC mengalu-alukan keputusan BNM itu kerana kos berkenaan tidak perlu ditanggung pembeli.

Tambahnya, yuran dokumentasi pinjaman yang dikenakan sejak 2013 dilihat tidak adil kepada peminjam dan pembeli rumah.

“Jumlahnya mungkin tidak besar, tetapi sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pembeli rumah. Lebih penting, suara dan hak pembeli rumah didengari dan diambil kira oleh pihak berkuasa.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan beban rakyat,” kata beliau sambil menambah yuran dokumentasi itu tidak menambah nilai kepada perkhidmatan dan transaksi dalam pembelian rumah.

Baru-baru ini, Bank Pusat mengeluarkan notis supaya bank berhenti mengenakan bayaran dokumentasi pinjaman, berjumlah antara RM100 dan RM600 untuk pinjaman perumahan.

Sebaliknya, bank-bank mengenakan caj tersebut kepada peguam yang menguruskan urus niaga hartanah. – MalaysiaGazette