Kamal Karim (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam dekat sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM4,150 bagi pembekalan ekzos fan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, lima tahun lalu.

Tertuduh, Kamal Karim, 47, membuat pengakuan itu atas dua pertuduhan termasuk pilihan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Kamal merupakan seorang pengarah di sebuah syarikat penyelenggara penghawa dingin dan pendawaian elektrik.

Dia didakwa dengan niat memperdaya dengan menggunakan satu dokumen palsu kepada seorang pegawai kewangan UPM.

Ia bagi tujuan pembekalan dan kerja-kerja pemasangan ekzos fan 10 inci di surau perempuan, Pusat Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM yang sebenarnya tidak dibekalkan.

Kamal didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bursar UPM pada 21 Oktober 2018.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh diboleh dihukum dibawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kemudian bagi pertuduhan pilihan, Kamal boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua- duanya sekali dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 465 Kanun sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap minggu pertama untuk setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Sebutan semula kes pada 14 Mac depan. – MalaysiaGazette