Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuaat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa itu memulakan siasatan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan.

Presiden Perkara Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan dilakukan berikutan kenyataan Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Ujar beliau, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu dianggap melampau apabila secara terang-terangan mempersoalkan hak dan keistimewaan kaum Melayu.

“Dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas dinyatakan mengenai keistimewaan bagi orang Melayu dan Bumiputera untuk memasuki perkhidmatan awam.

“Malangnya, tindakan biadap Ramasamy mempersoalkan hak-hak istimewa berkenaan boleh menghasut atau mencetuskan kebencian kaum antara satu sama lain.

“Dakwaan Ramasamy kononnya lambat dan susah nak naik pangkat dalam perkhidmatan awam sehingga desak kerajaan mereformasikan sektor perkhidmatan awam perlu disiasat oleh polis serta-merta,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Dang Wangi, petang tadi.

Bagaimanapun, Ramasamy mendakwa hantaran Facebook yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara itu telah diputarbelit oleh beberapa penerbitan.

Sementara itu, Syed Hassan turut meminta polis menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur provokasi terhadap orang Melayu yang dilakukan oleh Ramasamy dan sekiranya ada pemimpin DAP itu perlu didakwakerana ia boleh mencetuskan keadaan huru-hara

Dalam pada itu, Syed Hassan menggesa Ramasamy memantau syarikat-syarikat besar atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimonopoli kaum lain.

“Perkara ini yang perlu dipantau. Bagaimanapun kita akan buat sidang akhbar lain mengenai hal tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette