Miguel Cifuentes.

KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan FC bakal diperkuatkan oleh pemain import berpengalaman apabila dilaporkan membawa masuk bekas pertahanan kelab La Liga, Miguel Cifuentes dari Sepanyol.

Perkembangan itu disahkan oleh pemiliknya, Norizam Turkiman atau dikenali sebagai Zamsaham di laman Facebook miliknya.

Menurut ZamSaham, pemain yang berusia 32 tahun itu dalam perjalanan ke Malaysia dan dijangka diumumkan secara rasmi minggu ini.

Kelantan FC merupakan kelab pertama dari Asia disertai oleh  Cifuentes kerana dia banyak menghabiskan karier bola sepaknya beraksi di Sepanyol termasuk La Liga iaitu antara liga yang popular di Eropah.

Dia juga merupakan produk akademi bola sepak Elche dan pernah membantu Elche B menjuarai Liga Segunda (Divisyen 2 Sepanyol) pada musim 2012-13.

Beraksi di posisi pertahanan kanan, Cifuentes juga mempunyai pengalaman La Liga apabila menyertai Malaga CF selama 5 tahun dan telah menjaringkan 4 gol dalam 60 penampilan.

Kemudian, dia dipinjamkan ke kelab divisyen 2 Sepanyol sebelum kembali semula ke Elche pada musim 2020-2021. Kelab terbaharu yang disertainya pada musim lepas ialah UD Ibiza namun khidmatnya tidak disambung.

Kehadiran Cifuentes menjadi harapan para penyokong Kelantan FC untuk memperkuatkan benteng pertahanan yang didapati agak goyah dalam beberapa perlawanan pra musim.

Kelantan kini dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik dan sedang giat untuk membentuk barisan terbaik bagi menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar pada musim ini.

Pada musim 2022, pasukan itu berjaya menduduki tangga kedua Liga Premier dan layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast