Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melakukan gimik pelancaran ‘Arts on the Move’ di MRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menetapkan Petunjuk Pretasi Utama kepada Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi memantau prestasi syarikat pengendali pengangkutan awam itu.

Menterinya, Anthony Loke berkata, KPI itu tidak terhad kepada perkhidmatan tren dan bas semata-mata bahkan akan menilai semua aspek termasuk kemudahan asas termasuk lif dan eskalator.

“Kita akan meletakkan beberapa KPI kepada Prasarana dan KPI ini akan diumumkan secara terbuka kepada penumpang, mana-mana pihak termasuk media untuk memantau pretasi Prasarana.

“Cabaran itu disambut baik oleh pihak pengurusan Prasarana, kita sedang berbincang beberapa parameter dan kita akan muktamadkan dalam masa terdekat.

“Salah satu KPI itu ialah melihat tahap kerosakan atau gangguan yang dihadapi oleh penumpang,” katanya pada sidang media di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni hari ini.

Tambah Anthony, dalam usaha untuk menambah baik kemudahan awam di stesen-stesen LRT dan MRT, Prasarana juga diminta membentangkan laporan kerja-kerja penambahbaikan itu setiap minggu.

“Mesyuarat pasca Kabinet mewajibkan Prasarana untuk membentangkan laporan mereka setiap minggu, bukan sahaja dari segi perkhidmatan tren dan bas mereka, setiap penumpang.

“Bahkan setiap minggu mereka juga akan membentangkan laporan berapa lif dan eskalator yang sudah dibaiki, berapa yang masih rosak, semua laporan itu dibentangkan setiap minggu,” katanya.

Katanya, dengan langkah itu, gangguan perkhidmatan pengangkutan awam itu dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

“Kita nak mengurangkan gangguan ketika ini, hampir setiap bulan kita ada beberapa gangguan berlaku di LRT dan MRT, jadi itu mesti dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast