Ahmad Yahya

KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya meneliti semula pelaksanaan projek rintis penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP).

Beliau berkata, usaha itu dibimbangi akan mengundang penularan budaya Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Saya ingin menegaskan bahawa implikasi terhadap tindakan tesebut sangat besar khususnya kepada perkembangan golongan LGBT atau spesifiknya golongan gay dalam negara. Saya mengharapkan agar KKM dapat meneliti semula projek rintis berkenaan.

“Ini bukan kerana kita menolak prinsip kementerian untuk menyelamatkan golongan yang berisiko kepada HIV. Tetapi kita memerlukan suatu pendekatan yang lebih menyeluruh untuk memastikan golongan gay dan LGBT umumnya tidak terus berkembang dalam negara. Inilah pandang sisi yang wajar diketengahkan oleh Kementerian,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Ketua Dewan Ulama Pas itui, kerajaan sewajarnya mengambil pandangan agama dan moral secara bersama dalam menangani isu sebegini.

Ia termasuk mengadakan rundingan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Mufti di negeri-negeri secara berstrategik bagi mengelakkan implikasi yang lebih parah jika projek rintis pemberian PrEP ini diteruskan.

Dalam pada itu, Ahmad Yahya mencadangkan supaya kerajaan mengemukakan statistik jumlah golongan LGBT dalam negara serta punca dan bagaimana budaya itu boleh menular.

“Kerajaan juga digesa menggubal satu dasar bagi menolak prinsip dan tuntutan terhadap orientasi seksual dan identiti gender yang menjadi lapangan perjuangan golongan LGBT ketika ini.

“Kerajaan juga perlu menggubal satu dasar bagi melakukan sekatan terhadap platform media sosial sama ada berpengkalan dari dalam atau luar negara yang mengandungi unsur LGBT.

“Memperkukuhkan dasar berkaitan institusi kekeluargaan bagi mengurangkan pengaruh terhadap gelombang LGBT yang masuk ke dalam negara,” katanyai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast