KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyusun semula organisasi parti selepas melakukan operasi ‘pembersihan’ pada Disember tahun lalu yang menyaksikan bekas pemimpinnya, Datuk Zuraida Kamaruddin dan pengikutnya disingkirkan.
Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM dalam satu kenyataan berkata, bekas Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shoau Yoon dan Wong Judat dilantik sebagai timbalan presiden bagi menggantikan Haniza Mohamed Talha.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dilantik menjadi naib presiden kanan manakala Datuk Chua Lian Chye menyandang jawatan Naib Presiden PBM.
Jawatan Setiausaha Agung kini disandang oleh bekas Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat bagi menggantikan Nor Hizwan Ahmad.
Engga Unchat dilantik sebagai bendahari dan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak, Agnes Padan kini adalah Ketua Wanita PBM yang baharu bagi menggantikan Daroyah Alwi.
Kepimpinan PBM negeri turut distruktur semula dengan menyaksikan Presidennya, Datuk Larry Sng menyandang jawatan Pengerusi PBM Sarawak dan Selangor.
Penyusunan semula itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBM pada 10 Februari lalu.
Pergolakan tercetus dalam PBM sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran perebutan jawatan tertinggi parti antara Zuraida dan Larry.
Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM menambah, gerak kerja penyusunan dan memperkasa struktur negeri-negeri juga telah selesai dan kini PBM akan terus memfokuskan kepada persiapan memperkemas akar umbi dan penjenamaan semula PBM.
“PBM juga optimis untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan untuk memastikan negara stabil dan berdaya saing dalam mendepani cabaran mendatang,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Laaa dari Parti Bangsa Malaysia..dah bertukar jadi parti perkauman plak..dari atas sampai lah ke bawah tak cerminakan Bangsa Malaysia pun..