Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan sebuah penempatan haram warga negara asing di Sekitar Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

SEPANG – Sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di kawasan bukit dan hutan belukar di Cyberjaya di sini digempur malam tadi.

Perkampungan yang terletak kira-kira empat kilometer daripada jalan utama itu dilengkapi kemudahan surau, warung, kedai runcit dan kedai membekal tong gas namun tidak dapat dikesan sebelum ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud berkata, operasi bersepadu itu bermula lebih kurang 12.01 tengah malam bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan sebuah penempatan haram warga negara asing di Sekitar Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

Hasil serbuan itu, seramai 55 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita telah diberkas.

“Kita juga menganggarkan kira-kira 40 warga asing tanpa dokumen berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang dikelilingi kayu serta kaca serta telaga air buatan manusia dipercayai menjadi ‘pelindung’ mereka di sekeliling kampung terbabit.

“Kita percaya hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kesemua PATI yang ditahan mendapati mereka masuk ke dalam negara ini dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sejak 2016 dan bekerja sebagai pekerja tapak pembinaan serta tukang cuci di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita di lokasi selepas selesai operasi 3.30 pagi tadi.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan sebuah penempatan haram warga negara asing di Sekitar Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

Tinjauan MalaysiaGazette semasa serbuan mendapati terdapat laluan rahsia seperti terowong telah digali di kawasan hutan di perkampungan itu namun tidak dapat dipastikan kegunaannya.

Tambah Khairul Dzaimee, semasa serbuan dilaksanakan, pihaknya mendapati terdapat PATI yang menyorok di dalam reban ayam dan bawah rumah.

Katanya, pasukan operasi juga berdepan kesukaran apabila lokasi perkampungan berusia lapan tahun itu agak tersorok dan sukar dikesan kerana kedudukannya.

“Rumah PATI ini juga didirikan di celah pokok dan tepi belukar yang agak padat yang sukar dilihat dengan mata kasar dari jalan utama dan mereka juga dipercayai membayar sewa bulanan sebanyak RM500 untuk setiap rumah kepada individu yang menjadi ‘ketua kampung’ yang bertanggungjawab menjaga kawasan perkampungan haram dan menerima kehadiran penghuni baharu ke situ.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (tengah) melihat sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan sebuah penempatan haram warga negara asing di Sekitar Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

“Risikan dan siasatan awal kami juga mendapati mereka memperoleh bekalan elektrik untuk perkampungan itu menerusi generator manakala sumber bekalan air diperoleh dari perigi yang digali dengan kedalaman kira-kira tiga hingga lima meter.

“Tandas yang dibina mereka sendiri juga berada dalam keadaan agak naif dan tidak terurus kebersihannya,” ujarnya.

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan terhadap para PATI wanita yang ditahan dalam serbuan sama juga mengaku mereka selain bekerja di kawasan berhampiran mereka juga menjalankan aktiviti perniagaan kecil-kecilan menjual juadah makanan seperti nasi lemak, pisang goreng serta kuih menggunakan sumber air telaga perkampungan itu dan menjualnya di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

“Malah siasatan  mendapati keadaan kawasan yang kotor apatah lagi mereka ini tidak mempunyai suntikan kesihatan serta tahap kebersihan makanan yang turut dicurigai,” katanya.

Jelas Khairul Dzaimee, pihaknya meneruskan siasatan terperinci untk mengenalpasti individu yang berperanan sebagai ketua di perkampungan itu yang memainkan peranan mengutip duit sewa daripada kesemua PATI berkenaan.

“Kami juga akan memanggil pemilik tanah berkenaan untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut kerana membiarkan kawasan itu diceroboh dan menjadi perkampungan PATI untuk berselindung.

“Kita juga akan melaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Sepang untuk menyegerakan tindakan memusnahkan sepenuhnya kesemua rumah kongsi yang didirikan di perkampungan haram ini bagi memastikan penempatan ini tidak lagi kembali didiami PATI selepas ini,” katanya.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan sebuah penempatan haram warga negara asing di Sekitar Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 15 FEBRUARI 2023.

Kesemua PATI yang ditahan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairul Dzaimee juga menjelaskan, pihaknya juga berjaya mengesan beberapa buah lagi perkampungan haram PATI seperti di Cyberjaya di beberapa kawasan di Lembah Klang serta seluruh negara dan tindakan akan diambil berlunaskan undang-undang.

Namun, beliau enggan memperincikan jumlah perkampungan haram yang dikesan atas faktor keselamatan dan lain-lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast