Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mengkaji kaedah terbaik dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan bandar raya Johor Bahru sebagai bandar sifar gelandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata bagi tujuan itu, mulai Mac ini, pasukan petugas akan mengumpul data mengenai latar belakang gelandangan di negeri itu.

Beliau berkata langkah itu bagi mencari mekanisme jangka pendek dan jangka panjang bersesuaian untuk membasmi golongan berkenaan selain memastikan mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

“Operasi bersepadu bagi menyelamatkan gelandangan akan dilaksanakan secara kerap selain menyantuni golongan itu supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan tidak kembali menjadi gelandangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu terletak di bawah penyelarasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Mohd Jafni berkata inisiatif itu turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Menurut beliau, gelandangan dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu penagih dadah, pesakit mental, pekerja yang tiada tempat tinggal dan penganggur yang tiada kediaman.

“Misalnya baru-baru ini di Jalan Dhoby berdekatan dengan Masjid India di sini terdapat beberapa gelandangan yang tidur di kawasan itu pada waktu tengah hari dan apabila saya bertanya, ada dalam kalangan mereka memaklumkan datang dari luar Johor.

“Ada juga yang datang ke sini untuk mencari kerja dan tubuh mereka sihat, tetapi mereka tiada tempat untuk tidur dan terdapat juga yang dulunya bekerja di Singapura tetapi kini menjadi gelandangan di bandar raya ini,” katanya. – BERNAMA