Penduduk menunjukkan longkang yang sentiasa tersumbat mengakibatkan banjir di kawasan perumahan di Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

SUNGAI BULOH – “Setiap kali hujan lebat, ia bagai mimpi ngeri buat kami kerana banjir teruk,” luah penduduk di Jalan Union, Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini.

Masalah banjir itu dilalui mereka lebih 30 tahun bagai tiada penyelesaian sehingga rasa kecewa dan penat dengan situasi itu tidak lagi mampu digambarkan mereka.

Wakil penduduk, Mok Tien Ley berkata, dia sudah banyak kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi masih tiada sebarang tindakan.

Rumahnya yang berdepan dengan longkang sering dimasuki air jika hujan lebat berterusan tanpa henti sekali gus merosakkan harta bendanya.

“Dari dulu sampai sekarang tak pernah tak banjir, selalu kalau hujan lebat, air naik dengan cepat dalam 10 minit sudah masuk rumah. Saya dan anak-anak penat kena cuci rumah dan barang.

“Sudah bina tembok dua kaki dekat pintu masuk, air masuk lagi. Dari dulu, pihak PBT ke, mana-mana ahli politik ke, semua tidak bantu selesaikan masalah kami di sini. Longkang ini banyak sampah,” katanya pada pemberita.

Mok Tien Loy

 

Tambah Tien Ley, sebelum ini longkang itu tidak dibina di sebelah rumahnya dan ia adalah lot tanah milik penduduk di situ namun selepas pemiliknya hilang, geografi kawasan itu terus berubah.

“Dulu longkang bentuk T junction ini adalah di atas tanah pemilik bangsa India, tapi kami tidak tahu mana pemiliknya pergi dan tiba-tiba berubah jadi longkang sampai terkesan pada rumah saya.

“Saya pernah buat aduan pada MBSA tapi biasalah sampai bergaduh dengan penduduk, pernah juga lima tahun lalu ada kes kematian kanak-kanak di longkang ini. Sampai bila nak mahu selesai,” ujarnya.

Penduduk, Au Fong Kew masalah pemparitan yang tidak diselenggara dan saliran longkang disekat dan mengakibatkan banjir di kawasan Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan itu mendapati, kawasan perparitan di Kampung Baru Sungai Buloh sudah lama tidak diselenggara malah wujud sekatan saliran air yang diubah tanpa kelulusan.

Terdahulu, Ketua Balai Polis Sungai Buloh, Inspektor Fairus Fadzil turut hadir memantau kawasan yang sering berlaku banjir dan mendengar rungutan penduduk sekitar.

Sementara itu, Au Fong Kew, 62, yang telah menetap di kawasan itu hampir 40 tahun berkata, situasi banjir di kawasan itu hampir meragut nyawa cucunya.

Baginya setiap kali hujan lebat, dia perlu bersedia untuk memasang tambak pasir di hadapan rumahnya, selain menghidupkan janakuasa penyedut air untuk mengelakkan rumahnya mengalami banjir yang teruk.

“Kalau awak tengok longkang ini saliran air tidak betul, air akan berkumpul dekat satu kawasan ini sampai penuh hingga melimpah. Bukan itu sahaja, rumah depan ini dia bina simen tutup saliran longkang.

“Jadi air itu nak mengalir macam mana? Melimpah dekat rumah kami. Sepanjang saya duduk sini, saya jadi takut kalau hujan lebat sebab air naik dengan cepat dan rosakkan barang kami.

“Cucu saya umur tiga bulan pernah hampir jadi mangsa banjir tambah pula saya sudah tua mana kuat nak buat semua ini. Ini pun saya sudah tinggikan rumah tapi air masuk juga,” luahnya dengan nada sebak.

Penduduk, Au Fong Kew menunjukkan cara untuk menahan banjir dari memasuki kawasan rumah berikutan masalah pemparitan yang tidak diselenggara dan saliran longkang disekat dan mengakibatkan banjir di Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 FEBRUARI 2023.

Tambah Fong Kew, situasi itu amat membebankan bukan sahaja perlu membersihkan rumah tetapi mengalami kerugian yang amat banyak terutama keperluan rumah akibat kerosakkan banjir.

Katanya, lebih 50 keluarga yang menetap di situ berharap isu perparitan segera diselesaikan kerana bimbang akan berlaku kehilangan nyawa selain dapat memberi keselesaan kepada penduduk sekitar.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette cuba mendapatkan pihak yang terlibat untuk mencari penyelesaian isu tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast