KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkongsi rasa terkejut apabila masyarakat ketika ini memberikan persepsi Dewan Rakyat sebagai tempat ‘berbalah’ dan bukannya untuk menyelesaikan isu rakyat.
Justeru beliau berharap Ahli Parlimen agar sentiasa beradab bagi memastikan masyarakat tidak terus melabel Dewan Rakyat sebagai ‘zoo’.
“Selain pada itu saya ingin ingatkan adab dalam dewan. Semalam, saya pergi ke kedai mamak dan mereka mengenali saya.
“(Mereka bertanya), YB macam mana zoo? Saya terkejut (dan) inilah implikasi masyarakat di luar sana. Jadi, saya berharap (semua ahli Parlimen) berpeganglah kepada etika,” katanya di Dewan Rakyat di di sini hari ini.
Pada masa sama, Ramli turut menegur sikap segelintir Ahli Parlimen yang gemar menganjurkan ‘mesyuarat kecil’ ketika Ahli Parlimen sedang berbahas atau menteri sedang menjawab soalan.
“Saya berharap tidak ada perjalanan mesyuarat kecil di dewan. Sementara seorang Yang Berhormat bercakap ada pula mesyuarat kecil di sebelah kanan dan sebelah kiri.
“Sila beri perhatian dan saya harap semua Yang Berhormat ambil maklum,” katanya. – MalaysiaGazette