ALOR GAJAH – Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 15 peratus pengguna lebuh raya di negara ini terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh tujuh tahun lagi menjelang 2030.
Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia selaras dengan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 yang dilancarkan kerajaan dengan menggariskan pelan strategik bagi mencapai pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) menjelang 2030.
Menurutnya, di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, kementeriannya komited membangunkan hab pengecas pantas kenderaan elektrik EV di semua lebuh raya.
Ketika ini, 22 pengecas pantas kenderaan elektrik DC (Direct Current) telah beroperasi di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan dijangka 20 pengecas pantas kenderaan elektrik DC lagi akan dibangunkan tahun ini di Lebuhraya Utara Selatan. (PLUS).
“Ini adalah langkah kita nak mencapai lower carbon blueprint…kita serius untuk mengurangkan penggunaan karbon dan ini langkah positif yang kita akan usahakan.
“Sekarang ini, saya difahamkan terdapat sekitar 3,000 hingga 4,000 kenderaan EV dan ini diharapkan akan lebih bertambah malah senarai menunggu EV kita dah 10,000 buah maknanya ramai yang minat menggunakan EV,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Lebuhraya PLUS di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan, Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad Datuk, Mohd Izani Ghani dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad Datuk Indera Ir. Baharin Din.
Antara lokasi yang menyediakan pengecasan pantas itu ialah di R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara, selain enam lagi sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, KKR turut menyasarkan 20 lagi pengecas pantas kenderaan elektrik DC untuk dibangunkan pelbagai Charge Point Operator (CPO) di PLUS tahun ini.
“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah mengenal-pasti 63 lokasi hub pengecas pantas kenderaan elektrik DC di Kawasan R&R serta hentian sebelah yang terpilih di lebuh raya bertol seluruh negara.
“Kita juga mahu memastikan hub pengecasan EV pantas dipasang bagi setiap 100 kilometer (km) di sepanjang lebuh raya utama menjelang 2023-2025,” katanya.
Tambahnya, pengecas pantas kenderaan elektrik DC TNB Electron berpeluang dapat menikmati kemudahan itu percuma sehingga akhir bulan ini di tiga lokasi iaitu R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara di Lebuhraya LPT2. – MalaysiaGazette.