hutang Felcra
Prestasi kewangan Felcra turut disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2.

PUTRAJAYA – Semakan Jabatan Audit Negara mendapati Felcra Berhad mempunyai tunggakan hutang tidak mampu dibayar berjumlah RM312.22 juta pada 2021, peningkatan ketara berbanding RM82 juta tahun sebelumnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2, berdasarkan surat pengesahan bertarikh 10 Januari 2022 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman Felcra dengan kerajaan Persekutuan setakat 31 Disember 2021 adalah sebanyak RM3.674 bilion.

“Baki pinjaman ini merupakan 69 peratus daripada keseluruhan liabiliti Felcra yang berjumlah RM5.323 bilion,” jelas laporan itu.

Berdasarkan maklum balas Felcra, kerajaan melalui keputusan Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu telah meluluskan sebahagian baki pinjaman berjumlah RM969.27 juta kepada ekuiti dalam syarikat berkenaan.

Laporan yang sama turut menyatakan, dalam aspek keberhasilan, kerajaan tidak menerima dividen daripada Felcra bagi tempoh 2019 hingga 2021.

“Namun, program penyatuan dan pemulihan (P&P) telah memberi impak positif serta dapat meningkatkan taraf hidup peserta dengan agihan dividen yang diterima,” katanya.

Laporan berkenaan juga menyatakan, setakat April tahun lalu, Felcra mencatatkan dividen belum agih terkumpul sebanyak RM67.14 juta, dengan menunjukkan trend peningkatan antara RM5.67 juta hingga RM15.72 juta sepanjang 2019 hingga 2021.

“Dividen belum diagihkan kepada peserta disebabkan oleh kematian, kes mahkamah, peserta tidak dapat dikesan, jual beli, pencerobohan atau berlaku pertikaian atas lot tanah berkenaan,” jelas laporan tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan haritu ada ura-ura nak letak lantikan politik jadi Pengerusinya oleh Presiden UMNO. Cukup-cukuplah jangan lah nak menambah hutang lagi, berilah peluang kepada tokoh-tokoh koprat yang berkeliber. Banyak CEO-CEO GLC pencen yang pakar dalam pengurusan boleh di ambil alih dari ambil lantikkan politik yang akan mengkayakan kroni-kroni sahaja.

Comments are closed.